Sunday, July 17, 2011

Perkembangan Kanak-kanak

1.PENGENALAN

Setiap individu adalah unik. Tidak ada seorang individu pun yang benar-benar menyerupai atau menyamai antara atau sama lain. Hal ini kerana, setiap individu mempunyai personaliti mereka yang tersendiri. Hal ini, kerana ianya merupakan kecenderungan seseorang untuk bertingkah laku. Di samping itu juga, ramai yang menyatakan personaliti adalah gerakbalas tingkah laku terhadap situasi tertentu. Oleh sebab itu, di kalangan ahli psikologi mempunyai pelbagai pendapat tentang pengertian personaliti.

2.0 PERKEMBANGAN PERSONALITI

2.0.i DEFINISI PERSONALITI

Pada umumnya personaliti dapat didefinisikan sebagai sahsiah, keperibadian atau perwatakan. Hal ini yang demikian, perkataan personaliti merupakan terjemahan daripada perkataan Bahasa Inggeris yang diambil daripada perkataan Latin iaitu Persona. Persona membawa maksud topeng muka yang dipakai oleh pelakon Yunani pada zaman dahulu untuk mewakili sesuatu perwatakan di pentas. Seterusnya, dalam konteks psikologi pendidikan , konsep personaliti dapat ditafsirkan dengan pelbagai definisi yang berbeza. Menurut Alder 1948 Personaliti merupakan gaya hidup seseorang individu manakala Gordon Allport, 1961

Personaliti sebagai organisasi sistem psikologi yang dinamik di dalam jiwa individu. Sistem ini akan menentukan ciri-ciri tingkah laku dan penyesuaiannya dengan alam persekitaran. Mischel, (1981) pula menyatakan personaliti sebagai susunan pola-pola tingkah laku manusia yang diaplikasikan dalam situasi kehidupannya. Di samping itu menurut Crow dan Crow (1983) (Mak Soon Sang, 2008) personaliti seseorang adalah perwatakan fizikal, corak pertuturan, dan daya penarik yang dimiliki.

Seterusnya, dapat disimpulkan di sini bahawa personaliti ialah ciri-ciri keseluruhan tingkah laku yang tetap pada seseorang individu, tetapi ianya berlainan dengan orang lain. Hal ini kerana perwatakan seseorang individu dapat diperhatikan dan dilihat melalui tingkah lakunya dalam situasi pada sesuatu ketika.

2.0.ii PERKEMBANGAN PERSONALITI

2.0.ii.a PERSONALITI

Secara umumnya, manusia dapat dibezakan menerusi dua aspek iaitu kemampuan dan personaliti. Hal ini yang demikian, aspek kemampuan meliputi pencapaian dalam pembelajaran, kecerdasan dan bakat. Berlainan pula dengan aspek personaliti yang meliputi watak, sifat, penyesuaian diri, minat, emosi, sikap dan motivasi.

Oleh sebab itu, dapat kita dapat melihat perkaitan antara personaliti seseorang itu dengan konsep kendiri. Hal ini kerana, personaliti merupakan sifat-sifat atau ciri-ciri yang dimiliki oleh seseorang individu, seperti cara berfikir, dan beremosi yang membolehkan dirinya dibezakan dengan individu lain.

Seterusnya, kita dapat perhatikan jika konsep kendiri seseorang itu positif, maka individu tersebut dapat menilai dan memberi pendapat mengenai dirinya secara sedar tentang kebaikan dan kekurangannya, serta dapat menerima maklum balas daripada orang lain. Hal ini jelas, menunjukkan bahawa saling perkaitan antara personaliti dan konsep kendiri amat ketara dalam diri setiap individu. Jika tidak mustahil untuk seseorang individu itu untuk berinteraksi dengan persekitarannya.

Konklusinya, personaliti merupakan gabungan daripada berbagai sifat dan konsep kendiri seseorang. Hal ini yang demikian individu yang mempunyai konsep kendiri positif akan menghasilkan personaliti yang bersesuaian dengan keperluan persekitarannya. Dengan gaya percakapan, cara bertindak, tingkah laku yang ditunjukkan dan cara seseorang itu berinteraksi dengan persekitarannya dapat membantu kita untuk mengenali personaliti seseorang itu dengan lebih mendalam.

2.0.iii KLASIFIKASI PERSONALITI DAN CIRI-CIRINYA

Secara umumnya, personaliti seseorang individu biasanya dapat dipersepsikan dalam satu kontium di antara dua kategori yang ekstrem iaitu introvert dan ekstrovert. (Mak Soon Sang , 2008)

Introvert ialah seseorang yang sentiasa menyimpan perasaan, dan emosinya dalam keadaan yang nyata. Dalam kata lain, individu tersebut merupakan seorang yang pasif, sensatif dan tidak sukakan cabaran. Oleh itu dalam interaksi sosial individu tersebut banyak menumpukan masanya kepada mendengar sahaja berbanding mengeluarkan pendapat mereka sendiri.

Tetapi berbeza pula dengan mereka yang mempunyai jenis personaliti ekstrovert yang lebih suka dunia luar daripada dunia dalam. Individu yang tergolong dalam jenis ini biasanya mempunyai semangat yang aktif dan suka bergaul dengan semua orang, sentiasa suka melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti social dan sering cepat membongkar perasaanya tetapi juga cepat pula mengubahnya.

Walaubagaimanapun, di dalam dunia yang fana ini kita tidak dapat menentukan secara khusus samada seseorang itu bersifat introvert ataupun ekstrovert. Hal ini kerana setiap individu mempunyai ciri-ciri personaliti yang terletak pada satu titik dalam kontinum di antara kedua-dua kategori tersebut.

Sebagai contohnya, jika seseorang itu menunjukkan sifat pendiam di rumah, tetapi menjadi seseorang yang sangat peramah apabila berhadapan dengan masyarakat sekeliling. Hal ini jelas menunjukkan bahawa orang itu mempunyai kedua-dua ciri introvert dan ekstrovert dan gabungan kedua-dua personaliti ini dinamakan ambivert. Selalunya mereka yang mempunyai ciri ambivert ini merupakan seseorang yang suka berkawan tetapi lebih suka memilih bekerja secara individu, bertutur lancar tetapi berfikir sebelum memberi pendapat dan aktif tetapi sensitif.

Konklusinya, manusia dijadikan dalam pelbagai ciri dan klasifikasinya kerana tanpa kedua-duanya dunia ini tidak mungkin akan terdapat pelbagai jenis sifat manusia dan ciri-ciri dan klasifikasi inilah yang mewarnai kehidupan seharian manusia.

2.0.iv TEORI-TEORI PERSONALITI

Seterusnya kita mengkaji dan menganalisis pula teori-teori perkembangan personaliti seseorang manusia. Teori Psikoanalisis di mana secara umumnya pengasas Teori Psikoanalisis ini ialah Sigmund Freud. Beliau percaya personaliti manusia dibentuk semenjak manusia dilahirkan sehinggalah ke umur lima tahun (Mahmood Nazar, 2005). Menerusi pengalaman Freud yang mengendalikan pesakit-pesakit yang mempunyai masalah jiwa, beliau telah mengasaskan konsep alam sedar dan alam tidak sedar. Alam sedar diibaratkan sebagai seketul air batu yang terapung, hanya sebahagian kecil sahaja yang boleh dilihat. Manakala sebahagian besar air batu yang tenggelam merupakan alam tidak sedar. Menerusi pendekatan ini, motif tidak sedar yang terdapat dalam alam tidak sedar manusia, yang memotivasikan manusia untuk bertingkah laku. Seterusnya menurut beliau, lagi terdapat tiga komponen personaliti iaitu id, ego dan super ego yang sering mempengaruhi antara satu sama lain yang mengawal perlakuan manusia.

Id merupakan bahagian personaliti tidak sedar yang berfungsi sebagai stor penyimpanan untuk keinginan manusia dan didorong oleh tenaga libido yang memotivasikan tingkah lakunya. Manakala ego pula muncul apabila bayi berusia enam bulan merupakan suatu bahagian personaliti yang mengandungi pemikiran realistik dan tersusun. Ego berfungsi untuk mengawal id supaya keinginannya tidak melanggar nilai dan norma masyarakat hari ini. Seterusnya, superego pula merupakan bahagian personaliti yang bermoral dan berkembang daripada didikan moral dan agama. Oleh itu, mengikut Frued, superego berfungsi sebagai pengantar maklumat nilai moral kepada ego untuk bertindak dan mengawal id.

Dalam hal ini, Freud percaya jika sesuatu konflik dibiarkan dalam diri individu itu maka ia akan menghasilkan suatu perasaan ketegangan dan menghasilkan tingkah laku bermasalah kerana fikiran terganggu dan menyebabkan seseorang individu itu melakukan tindakan yang tidak bermoral kerana tidak dapat mengawal dirinya. Bagaimanapun, Freud menyatakan juga untuk menyelesaikan konflik ini seseorang akan menggunakan mekanisme helah bina diri seperti rasionalis, sublimasi, projeksi, introjeksi dan kompensasi.

Kedua, Teori Trait iaitu menurut Atkinson Trait bermaksud apa-apa bentuk sifat yang membezakan seseorang itu dengan individu lain dengan kadar yang kekal dan konsisten. Hal ini bermaksud, Teori Trait memperihalkan personaliti seseorang berdasarkan kepada sifat dan tingkah laku seseorang berdasarkan petikan, (Mahmood Nazar, 2005).

Seterusnya, William Sheldon dalam (Mahmood Wazar, 2005) mengklasifikasikan tiga bentuk tubuh atau somatotip dengan tiga set personaliti, iaitu endomorf, mesomorf dan ektomoft. Teori ini menunjukkan hubungan antara resam tubuh dengan personaliti. Hal ini yang demikian, bentuk badan endomorf adalah bentuk badan yang gemuk dan bulat. Individu ini dikatakan sebagai seorang yang periang, suka bergaul, kuat makan, ekstrovet dan tenang. Manakala mesomorf pula merupakan individu yang mempunyai susuk tubuh yang tegap, keras, dan kuat. Individu ini mempunyai personaliti yang tegas, bertenaga, agresif dan berani. Seterusnya, ektomorf pula ialah individu yang kurus, tinggi dan lembut. Individu ini dikaitkan dengan personaliti yang pendiam, tidak suka bergaul, beremosi, pemalu tetapi cerdik.

Manakala Teori Behaviourisme pula dikaji oleh pakar Behaviorisme yang mengkaji tentang perkembangan personaliti manusia. Beliau menyatakan bahawa tingkah laku manusia dipelajari melalui proses perkaitan, manusia pada asasnya akan cenderung ke arah sesuatu yang membawa kepada keseronokan serta tingkah laku manusia pada asasnya ditentukan oleh persekitaran.

Dalam hal ini, jelas menunjukkan bahawa pendekatan ini mengandaikan semua tingkah laku adalah hasil daripada proses pembelajaran yang melibatkan pelaziman yang diasaskan oleh Pavlov. Personaliti dilihat sebagai hasil daripada latihan, ganjaran, dendaan dan pelaziman daripada budaya dan masyarakat. Dalam teori ini pengalaman dikatakan penting namun begitu dalam pembentukkan personaliti kesan latihan, ganjaran, dan dendaan yang pernah diterima lebih member kesan kepada pembentukan manusia. Kebanyakkan pakar-pakar dalam bidang ini mempercayai bahawa tingkah laku manusia berpunca daripada interaksi manusia dengan persekitaran serta pengalaman lalu dan kini.

Selain itu juga Skinner berpendapat bahawa untuk memperkukuhkan sesuatu perlakuan atau gerakbalas seseorang manusia itu memerlukan peneguhan yang positif mahupun negatif dalam diri individu tersebut.

Konklusinya, berdasarkan Teori Behaviorisme ini personaliti merupakan tingkah laku yang ditunjukkan oleh individu ketika berinteraksi dengan persekitaran dan prinsip peneguhan merupakan punca yang menyebabkan sesuatu personaliti itu kekal atau lenyap dalam diri individu.

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN PERSONALITI

Pelbagai faktor yang dapat mempengaruhi perkembangan personaliti individu. Antaranya faktor kebakaan yang dihubungkaitkan dengan kecerdasan dan juga bentuk tubuh. Pola genetik yang wujud pada masa persenyawaan mempengaruhi perkembangan personaliti individu. Contohnya, kerosakan otak yang diwarisi, kecacatan atau penyakit semasa lahir sangat mempengaruhi tingkah laku individu. Ini termasuklah faktor-faktor yang berhubung dengan bentuk tubuh badan seperti ketinggian, berat badan, warna kulit dan fungsi-fungsi kederiaan. Kajian untuk membuktikan kesan perwarisan ke atas personaliti ialah melalui kajian kembar seiras, di mana kembar seiras dibesarkan di dalam persekitaran yang berbeza, tetapi masih mempunyai banyak kesamaan yang nyata pada kembar seiras. Dengan kajian ini menunjukkan bahawa sesetengah ciri pesonaliti adalah diwarisi melalui genetik atau biologikal.

Perkembangan personaliti juga dipengaruhi oleh pengalaman awal individu. Setiap individu akan bertindak secara tersendiri terhadap tekanan sosial yang dihadapinya. Ini disebabkan oleh perbezaan kekuatan fizikal, kepekaan dan ketahanan diri individu. Ini disokong oleh Freud yang menekankan kepentingan pengalaman awal (zaman kanak-kanak) dalam perkembangan personaliti. Trauma kelahiran, perpisahan dari ibu (Separation) adalah pengalaman yang sukar dihadapi oleh kanak-kanak. Persekitaran individu seperti budaya, adat resam, nilai dan cara hidup masyarakat juga mempengaruhi perkembangan personaliti individu.

Personaliti juga dipengaruhi oleh kesan daripada pandangan dengan ibu bapa, kawan sepermainan, saudara mara dan orang lain. Perhubungan emosi awal di mana kebanyakan ahli psikologi percaya dengan perhubungan emosi awal kerana ibu-ibu menghabiskan banyak masa dengan anak-anak mereka, maka mereka mempunyai peluang yang besar untuk mempengaruhi emosi anak-anak dan tingkah laku. Ibu juga merupakan model kepada anak-anak mereka. Di samping itu, penyusuan botol dan penyusuan ibu menjadi masalah terhadap sebilangan kaum ibu yang bekerjaya. Masih terdapat debat tentang mana yang lebih baik penyusuan botol atau penyusuan ibu. Kebanyakan ibu masih memilih penyusuan ibu kerana mereka percaya ia boleh mewujudkan perhubungan yang lebih hangat, mesra dan kasih sayang dengan anaknya.

Namun ahli psikologi lebih menekankan cara penyusuan anak, di mana samaada susu yang diberikan susu botol atau susu ibu, jika semasa penyusuan itu ibu tidak menunjukkan kemesraan, kasih sayang kepada anak, maka ini akan menghasilkan anak-anak yang mempunyai personaliti yang kurang sihat. Bukan itu sahaja, rutin amalan pemeliharaan anak turut mempengaruhi pengalaman awal individu. Cara ibu menceraikan susu anak, latihan membuang air besar dan kecil dan amalan lain yang rutin turut mempengaruhi pembentukan personaliti bayi. Sekiranya ibu bapa adalah bertanggungjawab, konsisten, dan memahami, anak-anak mereka akan mampu membentuk sikap dan keyakinan diri yang positif, serta pembentukan personaliti yang seimbang dan mudah penyesuaian.

Manakala, ibu bapa yang berkeadaan kucar-kacir dalam mendidik anak-anak mereka serta mewujudkan rumahtangga yang tidak selamat, begitu juga sekiranya menunjukkan tingkah laku yang tidak konsisten kepada anak- -anak, saling membenci, maka anak-anak akan membentuk kebimbangan. Rumahtangga yang kucar-kacir lebih cenderung menghasilkan anak-anak yang tidak gembira serta rendah diri dalam kalangan rakan-rakan. Sesetengah ahli psikologi percaya bahawa cara pemeliharaan anak, samaada secara autokratik atau demokratik adalah mempengaruhi perkembangan personaliti anak – anak.

Seterusnya, latar belakang sekolah dalam mewujudkan suasana sekolah yang kondusif dari segi fizikal, emosi dan sosial menyumbang kepada perkembangan personaliti yang positif dalam kalangan kanak-kanak. Sekolah merupakan tempat bimbingan dan pembentukan personaliti. Ini termasuklah peranan pihak pentadbiran sekolah seperti guru besar, guru disiplin, guru agama, kaunselor dan guru biasa. Amalan sekolah yang menyebabkan kanak-kanak merasakan diri mereka tidak selamat, terancam dan takut turut menyumbang kepada perkembangan personaliti individu yang tidak stabil. Pelbagai aktiviti seperti kelas, bimbingan, latihan dan aktiviti kokurikulum membantu membentuk perkembangan personaliti individu.

Bukan itu sahaja, pengaruh keluarga turut mempengaruhi personaliti kanak-kanak kerana masa kanak-kanak banyak diluangkan bersama keluarga. Keluarga yang dapat mewujudkan suasana kemesraan, kasih sayang, bertimbang rasa dan sopan-santun mempengaruhi perkembangan personaliti kanak-kanak. Ibu bapa seharusnya memberi kebebasan kepada kanak-kanak untuk bermain, bercakap dan memilih sesuatu yang diminati. Ini dapat membantu kanak-kanak membina keyakinan diri seterusnya dapat membantu ke arah perkembangan personaliti yang positif. Latar belakang keluarga yang porak-peranda akibat penceraian, kematian dan perpisahan akan memberi kesan buruk kepada emosi kanak-kanak.

Peranan media dan elektronik juga memainkan peranan penting dalam perkembangan personaliti individu pada hari ini. Ini kerana menerusi media, pelbagai maklumat disampaikan secara terus kepada kanak-kanak. Maklumat tersebut akan mempengaruhi minda kanak-kanak yang menyebabkan mereka mudah terikut-ikut dan cuba mengadaptasi idea tersebut ke dalam diri mereka. Oleh itu, ibu bapa haruslah menerangkan implikasi dan motif serta apa sebab yang betul berkenaan maklumat yang disampaikan menerusi media tersebut.

Pemakanan yang seimbang juga penting dalam proses perkembangan personaliti kanak-kanak. Individu digalakkan makan makanan yang berzat, bersih dan halal. Elakkan makanan atau minuman yang boleh mengancam dan menjejaskan kesihatan mental, emosi dan fizikal. Ini kerana makanan yang kotor boleh menjejaskan personaliti seseorang.

Aspek lain yang mempengaruhi perkembangan personaliti secara langsung mahupun tidak adalah pengaruh sosiobudaya. Tanpa asas pendidikan dan agama yang kukuh, individu mudah terdedah dengan budaya masyarakat yang negatif. Ini akan memberi kesan kepada sikap dan personaliti individu. Gaya hidup bebas menyebabkan mereka terikut-ikut dengan pengaruh yang tidak sihat dan menjejaskan kehidupan individu. Tingkah laku boleh disalurkan daripada ibu bapa, komuniti, masyarakat kepada ahli-ahlinya yang baru. Anak-anak adalah cenderung meniru tingkah laku yang terdekat dengan mereka. Faktor-faktor persekitaran baik fizikal, budaya mahupun sosial boleh membentuk personaliti ahli-ahlinya. Kelompok agama, etnik, komuniti dan sosial seperti kelab dan organisasi adalah di antara contoh faktor persekitaran yang berperanan penting dalam mempengaruhi pembentukan personaliti.

Kesimpulannya, daripada analisis kajian yang dijalankan daripada pelbagai sumber, dapat disimpulkan bahawa perkembangan personaliti individu bukanlah terletak pada bahu kedua ibu bapa mahupun ahli keluarga sahaja, malah terdapat pelbagai faktor yang akan mempengaruhi personaliti individu. Tanggungjawab yang terpenting akan terletak pada diri sendiri apabila seseorang kanak-kanak sudah mampu berfikir serta membuat keputusan sendiri.


3.0 PENGARUH PERSONALITI TERHADAP PEMBELAJARAN DAN PERANAN GURU

Murnford (1986) (Mok Soon Sang, 2008) mengemukakan empat gaya pembelajaran yang dipengaruhi oleh personaliti individu iaitu aktivis, reflektor, teoris dan pragmatis. Aktivis menunjukkan bahawa individu gemar mencari pengalaman baru serta aktif melibatkan diri dengan mengemukakan pelbagai soalan. Reflektor pula lebih kepada individu tersebut cenderung mengumpul dan menganalisis data untuk membuat kesimpulan. Manakala teoris tertumpu kepada kaedah rumusan berdasarkan bukti, analisis dan logik. Gaya pembelajaran pragmatis lebih menekankan kepada pencarian fakta untuk memastikannya sama ada berguna dalam situasi yang sebenar atau tidak.

Murid yang mempunyai ciri introvert tidak suka melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran. Manakala murid yang mempunyai ciri ekstrovert lebih suka belajar secara berkumpulan dan sering mengemukakan soalan dalam kelas. Murid yang bersifat berdikari suka belajar dengan cara inkuiri dan penemuan. Bahkan murid yang suka bergantung kepada orang lain, lebih gemar belajar melalui cara penerangan dan syarahan.

Sekolah diberi tugas untuk mendidik murid-murid supaya menjadi insan yang berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia. Guru yang bersifat penyayang dan membimbing murid-murid dengan penuh dedikasi akan menjadi role model murid untuk membentuk personaliti mereka yang positif. Persepsi rakan sebaya dan individu yang diterima dalam kumpulannya akan menggalakkan membentuk ciri personaliti yang berkeyakinan. Iklim sekolah yang kondusif serta ada peluang penglibatan secara aktif dalam aktiviti kokurikulum pula mempengaruhi perkembangan personaliti yang positif.

Cara-cara menguruskan personaliti individu adalah berbeza. Terdapat dua personaliti iaitu personaliti introvert dan ekstrovert. Personaliti introvert melibatkan murid-murid yang bergerak secara aktif dalam aktiviti kumpulan. Murid yang mempunyai ciri introvert diberi motivasi untuk melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran. Ciri ini menggunakan murid-murid yang mempunyai sahsiah positif sebagai role model serta memberi peneguhan yang positif dan pujian. Manakala ciri ekstrovert lebih menggalakkan mengemukakan soalan. Kebiasaannya, guru akan melantik mereka yang mempunyai ciri ekstrovert untuk membimbing murid sedarjah yang mempunyai ciri introvert dalam aktiviti kumpulan serta memberi mereka aktiviti pengayaan semasa pembelajaran dalam bilik darjah dengan menggunakan kaedah inkuiri iaitu penemuan dalam aktviti pengajaran dan pembelajaran.

Oleh yang demikian, boleh disimpulkan bahawa tugas seorang guru bukan sekadar sebagai tenaga pengajar malah lebih kepada seorang pembimbing. Guru yang bersifat pembimbing pasti dapat melahirkan para pelajar yang mempunyai personaliti yang penuh dengan nilai-nilai murni dan seterusnya menjadi insan yang berguna kepada agama, keluarga, masyarakat, nusa dan bangsa. Dalam bidang pendidikan bukan sahaja memerlukan guru yang hanya memiliki minat yang mendalam dalam kerjaya perguruan tetapi juga komited untuk memberikan yang terbaik kepada pelajar mereka untuk membentuk personaliti yang unggul.


4.0 PENGERTIAN KONSEP KENDIRI

Konsep kendiri adalah suatu konsep dalam menentukan personaliti seseorang itu. Konsep kendiri bermula apabila seseorang kanak-kanak mula untuk membesar. Kebiasaannya mereka sudah mula bertanya pada dirinya seperti soalan “ siapakah saya?” dan “sukakah saya pada diri saya”. Kebanyakkan soalan dan persoalan yang timbul adalah berkaitan dengan diri sendiri. Konsep kendiri adalah sesuatu yang kompleks. Antara fungsi-fungsi konsep kendiri ialah untuk penilaian kendiri. Sebagai contoh, seseorang individu itu akan berfikir “adakah saya lakukan dengan betul?”. Selain daripada itu, ia juga berfungsi untuk penentuan dalaman serta luaran seseorang itu.

Definisi konsep kendiri adalah penilaian seseorang ke atas dirinya sendiri atau bagaimana ia menganggap tentang dirinya sendiri sama ada secara positif atau negatif. Untuk membina konsep kendiri seseorang itu juga menerima penilaian daripada orang lain. Ia meliputi persepsi tentang diri dan alam sekelilingnya melalui dirinya dan juga perasaan tentang kebolehannya meliputi keyakinan dan harga dirinya.

Menurut David Shaffer, konsep kendiri adalah kombinasi antara fizikal dan psikologikal yang dianggap sebagai sesuatu yang unik pada setiap individu. Beliau menggunakan istilah ” looking glass self ” untuk menegaskan bahawa seseorang itu memahami dirinya seperti pantulan. Pantulan di sini bermaksud bagaimana orang lain bergerak balas dan memberi respon terhadap diri mereka.

Carl Rogers (1950), beliau mendefinisikan konsep kendiri sebagai suatu gambaran persepsi seseorang tentang ciri-ciri dan kebolehannya, persepsi dan konsep kendiri berbanding dengan orang lain dan persekitarannya.

Dari segi psikologi, Hall dan Landsay yang dipetik oleh Staats (1963), mereka berpendapat konsep kendiri boleh dilihat dalam dua cara iaitu, tanggapan diri seseorang individu dan proses yang menentukan tingkah laku seseorang individu.

Syarifah Alawiah (1987), pula menyatakan kendiri merupakan suatu organisasi, peribadi bagi seseorang individu yang unik dan dinamik yang lahir daripada interaksinya dengan persekitaran. Hal tersebut seterusnya akan menentukan ciri tingkah laku perasaan dan fikiran.

Konsep kendiri dibentuk daripada kepercayaan dan sikap yang dipegang berkaitan diri sendiri. Konsep kendiri juga menentukan siapakah diri kita sendiri seperti apa yang kita fikirkan, apa yang kita lakukan dan apa yang terjadi pada diri kita di masa hadapan.

Konsep kendiri adalah sebagai pemboleh ubah dalam memahami tingkah laku manusia. Individu yang mempunyai konsep kendiri yang positif dan tinggi dapat mengharungi kehidupan dengan penuh keyakinan dan berjaya. Konsep kendiri terbahagi kepada tiga iaitu:

  1. Pengetahuan kendiri (self-knowledge) : Apakah yang kanak-kanak tahu tentang dirinya.
  2. Penilaian kendiri (self-evaluation) : Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi pandangan kanak-kanak terhadap dirinya.
  3. Pengaturan kendiri (self-regulation) : Bagaimana dan bila kanak-kanak memperoleh kawalan diri.

Kesimpulannya, konsep kendiri merupakan suatu proses dinamik yang berlaku terhadap sistem psikofizik manusia sehingga membentuk pola penyesuaian diri yang unik pada setiap individu dalam lingkungan persekitarannya.

4.0.i JENIS-JENIS KONSEP KENDIRI

Terdapat dua jenis konsep kendiri iaitu konsep kendiri positif dan negatif. Konsep kendiri positif bermaksud seseorang itu percaya dan yakin kepada diri sendiri secara lebih sihat, mempunyai minat yang baik dan objektif serta tidak terlalu sensitif. Ia juga meliputi sikap terbuka dan memberi pandangan jika wujud keadaan yang tidak baik dan stabil di mana ia boleh menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi.

Sekiranya konsep kendiri dalam diri seseorang itu positif, maka individu itu dapat menilai dan memberi pendapat mengenai dirinya secara sedar tentang kebaikan dan kekurangannya, individu tersebut juga dapat menerima maklum balas daripada orang lain tentang dirinya. Ciri-ciri yang boleh dilihat dalam diri seseorang individu yang memiliki konsep kendiri positif adalah menghargai, memuji orang lain, berpuas hati dengan pencapaian, murah hati, mudah berkawan, berpuas hati dengan apa yang ada pada dirinya, berpuas hati dengan barang-barang kepunyaannya, peramah, berfikiran terbuka dan optimistik, mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran, mempunyai emosi yang stabil, tenang dalam menghadapi cabaran dan dugaan serta berkeyakinan tinggi dalam setiap bidang yang diceburi.

Konsep kendiri negatif bermaksud seseorang individu itu sering merasa rendah diri akibat mempunyai sahsiah yang tidak seimbang di mana individu seperti ini bersifat pasif dengan tidak suka bergaul atau bekerjasama dengan orang lain. Individu ini juga kurang berkeyakinan terhadap diri sendiri dan tidak berani untuk mencuba. Individu yang mempunyai konsep kendiri negatif mempunyai ciri-ciri yang cenderung untuk merasa salah, takut kepada kegagalan, dan sering merasa bimbang.

4.1 TEORI KONSEP KENDIRI

Terdapat dua teori dalam konsep kendiri iaitu, yang pertama Pendekatan Kognitif. Perkembangan yang diperkenalkan oleh Robert Selman, di mana beliau telah menjalankan kajian terhadap ramai kanak-kanak dengan memberi watak utamanya berhadapan dengan masalah dilema. Kanak-kanak berkenaan kemudiannya diarahkan supaya memberitahu apakah perasaan dan fikiran watak utama dalam cerita itu. Kanak-kanak tersebut ada diajukan soalan, bagaimana agaknya dilema tersebut dapat diselesaikan. Beliau lebih berminat dengan cara penaakulan kanak-kanak tersebut berbanding dengan jawapan untuk soalan yang diberikan. Daripada kajian itu, beliau telah membina satu model pengetahuan kendiri yang mempunyai lima tahap iaitu bermula dari peringkat bayi hingga peringkat remaja. Kanak-kanak pertengahan sudah dapat memahami tingkah laku dan mungkin berbeza daripada perasaan serta motif. Sebagai contoh, seseorang mungkin tersenyum tetapi tidak bermakna dia sedang gembira. Kanak-kanak pada peringkat akhir pula sudah mula mengalami kendiri yang stabil.

Teori yang kedua adalah Teori Pembelajaran Persekitaran. Ahli-ahli psikologi yang berpegang kepada teori ini menyifatkan bahawa konsep efektif – kendiri sebagai kebolehan kendiri yang dinilai oleh individu itu sendiri untuk melihat kejayaan sesuatu perkara yang dilakukan. Bandura, menjelaskan bahawa kanak-kanak pada mulanya tidak memahami proses yang berlaku pada dunia sosial mereka. Pada masa ini, ibu bapalah yang memainkan peranan untuk menjelaskan kepada kanak-kanak tersebut yang bertujuan untuk membantu kanak-kanak belajar tentang tahap keupayaan atau efektif kendiri.

Kesimpulannya, dalam membina konsep kendiri minda dan diri kanak-kanak perlu diperluaskan dari pelbagai sudut serta biarkan mereka bebas dalam melakukan apa yang disukainya dengan kawalan ibu bapa atau orang dewasa dan bukan hanya mencakupi sesuatu bidang atau perkara sahaja. Pada waktu inilah kanak-kanak boleh membina konsep kendirinya sendiri dan memilih apa yang sepatutnya yang perlu untuk dirinya suatu masa dan dewasa kelak. Konsep kendiri pada zaman kanak-kanak akan mencerminkan dirinya pada dewasa nanti dalam mengurus diri sendiri dan orang sekeliling dengan sewajarnya serta dapat membina keyakinan diri walaupun berhadapan dengan pelbagai situasi.
4.2 FAKTOR PERKEMBANGAN KONSEP KENDIRI POSITIF DAN NEGATIF

Konsep kendiri merupakan satu aspek yang penting kepada kewujudan dan tingkah laku seseorang individu. Konsep ini juga merupakan keseluruhan perkembangan personaliti seseorang individu. Terdapat dua jenis konsep individu iaitu konsep kendiri positif dan konsep kendiri negatif. Hal ini disebabkan oleh beberapa faktor yang mempengaruhi perkembangan konsep kendiri seseorang individu sama ada positif atau negatif.

Faktor sifat semulajadi seseorang individu merupakan faktor perkembangan konsep kendiri iaitu dari segi aspek baka dan persepsi terhadap diri sendiri. Baka yang baik sama ada dari segi keadaan mental akan memberi kesan kepada perkembangan konsep kendiri yang positif. Hal ini adalah kerana tubuh badan dan minda yang sihat sangat mempengaruhi tingkah laku seseorang individu. Sebaliknya jika seseorang itu mengalami perkembangan konsep kendiri yang negatif sekiranya mempunyai masalah kecacatan yang diwarisi semasa lahir iaitu seperti kerosakan otak.

Persepsi terhadap diri sendiri juga mempengaruhi perkembangan konsep kendiri seseorang individu. Individu yang mempunyai persepsi positif terhadap diri sendiri dapat menerima semua perkara tentang dirinya dengan baik. Hal ini yang demikian persekitaran di sekeliling individu juga merangkumi pengalaman awal ketika memasuki alam persekolahan, media massa, budaya serta adat resam dan persepsi masyarakat sekitar.

Media massa atau pengaruh sebaran am seperti rancangan televisyen memainkan peranan yang penting dalam perkembangan konsep kendiri yang positif dan negatif kepada penonton. Maklumat yang berunsurkan ilmu pengetahuan seperti program Al-Khuliyyah dapat membentuk perkembangan konsep kendiri yang positif daripada segi moral. Media massa juga turut memberi pengaruh kepada perkembangan konsep kendiri yang negatif kepada remaja. Terdapat rancangan televisyen seperti filem barat yang memaparkan unsur-unsur negatif seperti budaya kuning yang merupakan budaya masyarakat barat yang mengamalkan gaya hidup bebas. Akibatnya, golongan remaja terdedah dengan pengaruh negatif daripada luar dan mempunyai konsep kendiri yang negatif. Bukan sahaja pengaruh daripada filem barat malahan terdapat iklan yang dipaparkan di media massa menunjukkan unsur-unsur negatif .

Seterusnya, Role Model juga menjadi salah satu faktor perkembangan konsep kendiri. Ibu bapa adalah Role Model yang paling penting dalam kehidupan seseorang individu. Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak mereka dengan menerapkan nilai-nilai murni serta menunjukkan peribadi yang baik agar menjadi contoh kepada anak-anak mereka. Secara tidak langsung kanak-kanak tersebut mempunyai perkembangan konsep kendiri yang positif sejak dari kecil lagi melalui ibu bapa mereka. Manakala jika sebaliknya berlaku iaitu ibu bapa tidak menunjukkan contoh teladan yang baik maka anak-anak mereka akan mengalami perkembangan konsep kendiri yang negatif.

Rakan sebaya memberi pengaruh yang sangat besar. Ramai para remaja yang terlibat dengan gelaja yang tidak sihat disebabkan terpengaruh dengan rakan sebaya yang tidak bermoral. Individu yang mudah terpengaruh dengan orang lain adalah individu yang tidak mempunyai jati diri atau konsep kendiri positif yang kukuh. Selain itu, orang dewasa juga boleh mempengaruhi perkembangan konsep kendiri positif kepada kanak-kanak. Mereka bertanggungjawab dalam mendidik kanak-kanak tersebut dengan membantu mereka membina konsep kendiri yang positif dan melarang mereka daripada melakukan hal yang tidak sepatutnya.

Selain itu, faktor kepercayaan nilai keperluan juga membantu perkembangan kendiri yang positif. Aspek keselamatan diri adalah aspek yang tidak boleh dipandang enteng. Kanak- kanak akan menjalani hidup mereka secara sihat tanpa rasa terancam jika sentiasa dilindungi oleh orang di sekelilingnya. Namun, jika kanak-kanak tersebut hidup dalam keadaan bimbang dan takut akibat tekanan persekitaran mereka mungkin akan mengalami masalah dalam diri yang serius suatu hari nanti.

Kasih sayang adalah aspek yang penting dalam kehidupan manusia, khususnya kepada kanak-kanak yang masih kecil. Dengan kasih sayang yang diberikan oleh keluarga dan orang sekeliling, mereka akan sentiasa gembira dan membina konsep kendiri yang positif. Contohnya, sifat penyayang, saling sayang- menyayangi dan sebagainya. Selain itu, penghormatan diri hendaklah diperlihara oleh setiap individu. Khususnya, golongan remaja. Jika mereka sentiasa menjaga kehormatan diri, mereka dapat mencegah diri daripada terlibat dengan perkara yang tidak bermoral. Sifat malu melakukan perkara yang tidak bermoral adalah konsep kendiri yang positif yang harus ada dalam diri seseorang individu. Hal ini adalah kerana sifat malu dapat membuatkan seseorang individu menjaga maruah dirinya daripada tercalar dan tercemar.


5.0 IMPLIKASI PERKEMBANGAN

Terdapat beberapa implikasi perkembangan konsep kendiri kepada seseorang individu, kanak-kanak, guru, ibu bapa dan masyarakat. Individu yang mempunyai perkembangan konsep kendiri yang positif boleh mempengaruhi orang lain. Hal ini kerana, individu sebegini mempunyai ciri-ciri konsep kendiri yang positif iaitu bertanggungjawab, bangga dengan kejayaan, selalu gembira, menghadapi cabaran dengan bersemangat agar dapat mempengaruhi orang lain.

Manakala, implikasi perkembangan kendiri kepada kanak-kanak ialah dapat melahirkan kanak-kanak yang sihat daripada segi aspek jasmani, mental, rohani, dan sosial.

Perkembangan konsep kendiri juga memberi impak kepada guru. Guru yang mempunyai ciri konsep kendiri yang positif seperti bertanggungjawab dapat menjalankan tugasnya dengan efektif.

Seterusnya, implikasi perkembagnan konsep kendiri adalah akan dapat membentuk masyarakat yang bermoral dan hidup dalam harmonis. Perpaduan sesebuah masyarakat semakin kukuh kerana saling bertoleransi antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, kaum, agama dan adat resam.

Sebagai kesimpulan, perkembangan konsep kendiri memberi kesan atau implikasi kepada setiap lapisan mayarakat. Jika kita mempunyai konsep kendiri yang positif, maka kita dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran. Malahan, masyarakat turut dapat menerima kita dengan sikap positif yang dipamerkan. Khususnya, guru yang sentiasa perlu berinteraksi dengan masyarakat sekeliling.


6.0 PENUTUP

Secara keseluruhannya, perkembangan konsep kendiri adalalah penilaian, pandangan, tanggapan, kepercayaan termasuk kekuatan dan kelemahan diri sendiri, keluarga, guru, sekolah, rakan sebaya dan warga masyarakat serta pengalaman yang sesuai dengan persekitaran. Dalam perkembangan kendiri terdapat dua aspek iaitu aspek personaliti dan konsep kendiri. Kedua-dua aspek ini saling berkait rapat antara satu sama lain.

Aspek personaliti merupakan gabungan daripada berbagai sifat dan konsep kendiri seseorang. Individu yang mempunyai konsep kendiri positif akan menghasilkan personaliti yang bersesuaian dengan keperluan persekitaranya. Personaliti seseorang dapat dikenali dengan cara tingkah laku, gaya percakapan dan sebagainya.

Seterusnya, aspek konsep kendiri pula meliputi keseluruhan perkembangan personaliti seseorang individu. Aspek-aspek ini adalah penting bagi menimbulkan kesedaran guru pelatih terhadap kepentingan mempunyai konsep kendiri yang positif adalah sangat penting supaya mereka bersedia menghadapi cabaran sebenar dalam dunia pendidikan. Contohnya, bertanggungjawab, jati diri yang tinggi, bijak menyelesaikan masalah dan sebagainya.

BIBLIOGRAFI

BUKU ILMIAH

Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel. Edisi ke -2. Perkembangan Kanak-kanak untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Kuala Lumpur. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Mok Soon Sang.2008. Perkembangan Kanak-kanak. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Mok Soon Sang.2008. Psikologi Pendidikan. Selangor: Penerbitan Multimedia

Sdn. Bhd.

Rohani Abdullah. 2001. Perkembangan Kanak-kanak. Penilaian Secara Portfolio Serdang: Universiti Putra Malaysia.

LAMAN WEB

http://www.educ.upm.edu.my/~othman/modul3&4.htm

http://www.hanan.com.my/print.php?sid=1873

http://psikologi-freud-fies.blogspot.com/

http://bahaden.tripod.com/

http:// hmidps. 8m. com/mimbar 1 a.htm.






UnTuk mENdapAt sEsuAtu, hAruS meNcari daN berUSaha!